Wednesday, September 9, 2009

TUNAIKAN AMANAH….RAMADHAN ALMUBARAK

BERBURU KE PADANG DATAR

DAPAT RUSA BELANG DI KAKI

JIKA BERGURU KEPALANG AJAR

BAGAI BUNGA KEMBANG TAK JADI

Salam Ramadhan dan Salam Merdeka buat semua sahabat seperjuangan yang terus setia menerajui kebenaran. Bicara ini dicatatkan pada tarikh yang istimewa iaitu 09/09/09 bertepatan dengan 19 Ramadhan. 1430H. Satu tarikh yang tiada lagi ulang hadirnya dalam hidup kita. Mahukah kita biarkan tarikh ini berlalu begitu sahaja atau kita manfaatkan dengan kelebihan Ramadhan yang kita lalui setiap detik dan tika, maka selayaknya setiap hari kita manfaatkan sebagai hambaNYA yang tiada daya melainkan dengan izinNYA.

Ramadhan tahun ini kita sambut dengan kehadiran 31hb Ogos didalamnya. Itulah tarikh keramat buat warga Persekutuan Tanah Melayu melaungkan ucap keramat ‘MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA’ pada tahun 1957. Laungan yang disambut dengan tangis gembira atas usaha pemimpin-pemimpin Melayu mengembalikan kedaulatan Negara. Tiada siapa menjanjikan Negara yang kita sayangi ini mampu melalui segala dugaan dan cabaran mengekalkan keamanan dan kemedekaan Negara. Namun segalanya kita tempuh agar hak MERDEKA yang kita kecapi terus kekal sepanjang zaman.

Tahun ini tarikh merdeka kita sambut dengan kerberkatan dan kerahmatan Ramadhan. Itulah Ramadhan yang tidak pernah jemu hadir dalam hidup setiap insan selagi hayat dikandung badan serta tetap membawa bersama rahmah dan berkahnya atas perintah Tuhan Yang Satu. Pastinya banyak perkara yang perlu kita renungkan sebagai pejuang bangsa dan budaya. Ramadhan mengajar kita menghayati sejauhmana kita merdeka kan jiwa dari segala sifat yang merosakkan hati dan amal kita.. Sudahkah kita merdeka jiwa dari menjadi hamba kepada nafsu dan kerakusan diri kita? Sama-samalah kita menyelami maksud Ramadhan pada hakikatnya. Semangat Ramadhan dan jiwa merdeka perlu dipupuk dalam diri kita pada setiap masa. Moga di hujung Ramadhan nanti kita beroleh kenikmatan puasa yang sebenar dan keinsafan jiwa yang kekal sehingga akhir hayat kita.

Begitu juga didalam usaha kita meneruskan agenda membina jalan yang lebih baik buat Silat Cekak Hanafi. Perjalanan kita masih jauh dan berliku. Kita memerlukan ahli-ahli yang merdeka jiwanya dengan semangat Ramadhan yang jitu bagi memenuhi segala perancangan dan gerak kerja yang disusun. Tanpa ahli mana mungkin kita mampu memacu persatuan dan akademi kearah hala tuju yang sebenarnya.

Itulah kepentingan ahli. Konsep berpersatuan itu kalau dapat kita simpulkan cukup mudah yakni ‘Yang ramai disatukan, Yang satu diramaikan”. Ini bermakna ahli yang ramai di satukan dibawah satu bumbung dan apabila semuanya kita satukan dibawah satu pergerakan lalu kita perkukuh dan perhebatkan jentera pentadbiran dengan mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa yang membolehkan ahli-ahli terlibat secara langsung membantu pergerakan persatuan.

Dengan cara itu kita akan membina satu rangkaian ahli-ahli lama dan baru yang mahir berpersatuan dan bakal menerajui agenda besar dan utama persatuan dimasa akan datang. Maka kita akan dapat melahirkan AHLI MAHIR dalam berpersatuan dan persilatan. Selanjutnya mereka ini akan meneruskan segala dasar dan hala tuju pergerakan berlandaskan amanah, jiwa merdeka dan tauhid sejati.

Setiap jawatan yang dipegang samada yang utama maupun sekecil-kecilnya adalah amanah yang besar. Bila kita bercakap mengenai amanah kita bercakap mengenai sifat utama Nabi SAW. Sebab itu bila kita diberi amanah hendaklah kita memelihara dan menyelesaikan amanah tersebut dengan sepenuh jiwa kita.

Adalah kurang molek apabila dibahu kita telah terpikul sejumlah amanah namun kita masih bernafsu untuk meminta amanah lain diletakkan dibahu kita. Jika amanah itu kita mampu pelihara dan tunaikan hasratnya maka selayaknya kita pikul namun jika pada namanya saja kita julang tapi hakikat perlaksanaannya tidak hadir dari dalam diri kita maka didalam jiwa kita telah wujud sifat orang yang tidak amanah. Inilah yang kita bimbang. Keinginan nafsu untuk memikul amanah yang tidak layak kita bawa bukan hanya merosakkan dan memburukkan nama kita tapi akibat besarnya ia mencacatkan perjalanan persatuan dan yang lebih hina lagi bila ahli yang semangat juangnya berkobar-kobar akan hilang dan lenyap dari persatuan bila berasa diri mereka dipergunakan dalam memenuhi amanah yang tidak mampu kita sempurnakan.

Begitu juga bila kita diberikan amanah tapi kita berdalih dalam melaksanakan amanah yang diberi. Sudah tentu ahli-ahli akan mulai hilang percaya dan keyakinan kepada kita. Seharusnya kita perbaiki diri dengan menerima amanah yang diberi sebagai runag membina jiwa dan sikap matang diri agar lebih kental dan berdaya saing. Sebagaimana Raja Ali Haji nyatakan didalam GURINDAM PASAL YANG KESEBELAS iaitu:

Hendaklah berjasa

Kepada yang sebangsa

Hendaklah jadi kepala

Buang perangai yang cela

Hendaklah memegang amanat

Buanglah khianat

Hendak marah

Dahulukan hujah

Hendak dimalui

Jangan memalui

Hendak ramai

Murahkan perangai

Oleh itu kita perlu berlaku adil kepada diri kita akan kemampuan dan keupayaan masing-masing. Kerna kita berpersatuan bukan untuk mencipta nama peribadi tapi nama besar yang kita utamakan adalah nama SILAT CEKAK HANAFI itu sendiri yang hendaklah kita bangunkan bersama tanpa niat pelbagai. Jika kita ada permikiran dan daya usaha yang jelas dan suci maka kita tidak akan berasa rugi dan bimbang menaikkan tenaga muda menerajui aktiviti-aktviti persatuan bersama tenaga berpengalaman bagi memenuhi perancangan kita.

Janganlah hendaknya ada rasa curiga akan keupayaan dan kemampuan antara kita. Sebaiknya kita membina kembali jaringan hubungan antara ahli semolek mungkin. Yang lama hulurkan idea, yang baru sumbangkan tenaga. Maka segala atur rancang kita akan mencapai tahap maksimum dan cemerlang selagi kehendak kita bersamaan dengan kehendak YANG MAHA ESA, DIA jualah perancang dan pengatur terbaik atas segala urusan hamba-hambaNYA. Moga Allah jua memimpin dan membimbing kita dalam membina persatuan yang kita sayangi ini sesuaimanfaat dengan hasrat murni Ustaz Hanafi Hj Ahmad bertungkus lumus melahirkan kembali Silat ini ke alam maya..

Semoga Allah memberkati mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad atas segala jasa dan bakti….ALFATIHAH. dan ALIKHLAS kita hadiahkan.

Salam maaf jika ada bicara Chulan yang menyentuh dan menguris hati sekalian sahabat yang ada. Segala yang sempurna itu milik DIA cuma, dan yang lemah itu adalah dari kelemahan diri kita yang gagal memilih jalan sempurna DIA ilhamkan di jiwa kita. Moga ketemu lagi di Ramadhan akan datang.

Ikhlas,

Chulan

090909
Kuala Lumpur