Friday, October 23, 2009

Berjaya dan Bahagia

CEKAK HANAFI WARISAN ASLI
MEMBENTUK JIWA SAHSIAH DIRI
BERSATU JASAD BERSATULAH HATI
TUNDUK SUJUD KEHADRAT ILLAHI


Salam Perjuangan buat semua sahabat yang dikasihi,

Salam maaf sempena Ramadhan dan Aidul Fitri yang telah berlalu meninggalkan kita. Sesungguhnya Ramadhan dan Aidul Fitri kali ini telah banyak mengajar kita erti kehidupan yang hakiki. Semoga keberkatan ini berpanjangan dalam hidup kita hingga ke akhir hayat.


Di dalam hidup setiap insan pastinya ingin berjaya dalam hidup. Itulah harapan setiap dari kita dalam meneruskan hidup ini. Oleh itu didalam mengejar kehidupan di alam fana ini kita diduga dengan pelbagai cara. Ada dugaan hadir melalui Ibu Bapa, ada juga yang datang melalui adik beradik serta anak-anak dan sebagainya. Semua ini adalah ujian dalam hidup kita dan sejauhmana kita melatih diri untuk bersabar dan berusaha menangani segala masalah secara bijaksana serta sejauhmana pergantungan hati kita kehadrat DIA. Jika kita melepasi segala dugaan dan halangan maka barulah kita kecapi kejayaan.


Namun adakah cukup dengan kejayaan dalam hidup? Kita mungkin berjaya dalam hidup tapi belum tentu kita bahagia dalam hidup. Sebab itu kita jangan sekali-kali lupa akan jasa ibu dan bapa serta adik beradik dan sahabat-sahabat yang tak putus-putus berdoa untuk kejayaan dan kebahgiaan kita. Ramai dari kita yang alpa akan hal ini dan akhirnya menyebabkan kita menjadi bongkak dan sombong.


Sedangkan boleh jadi kejayaan kita itu adalah hasil doa abang-abang atau kakak-kakak kita yang tidak tinggi pengajian ilmu dunianya tapi ikhlas dalam setiap tanduk dan bicaranya maka sudah pasti apa yang mereka doakan untuk kita mudah Allah makbulkan. Mungkin juga doa itu datang dari adik-adik kita yang mungkin cacat perilaku dan anggotanya tapi mereka ikhlas dan sentiasa jujur serta berasa bangga dan bahagia atas segala kejayaan kita……………….tetapi adakah kita sedar akan hakikat kehidupan itu,

Jika ya…..maka marilah kita renung kembali sepanjang Ramadhan yang telah meninggalkan kita adakah kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka yang mengasihi kita yang dulu nya amat mesra kita bergurau senda tapi kini kian jauh di hati kita. Begitu juga dengan Ibu dan Bapa yang rindukan pelukan mesra seorang anak yang jauh dimata tapi tak pernah lekang di hati mereka.Atau mungkin arwah ayah, atau ibu atau adik beradik kita yang lebih awal mengadap Illahi yang sentiasa mengharapkan doa dan amalan yang baik buat mereka dan kehadiran kita mengusap nisan yang kaku tanpa bicara atau sebarang pinta.


Seharusnya Aidul Fitri yang lalu dijadikan sebagai ruang untuk kita tautkan kembali ikatan yang terlerai dan membalas jasa semua insan yang berdoa keatas kejayaan dan kebahgiaan kita. Moga kita masih tidak terlambat melafazkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaNYA dan mohon maaf atas segala khilaf dan kedhaifan kita.


Inilah kesempatan yang terbaik bagi kita memelihara pantang larang persilatan kita mengenai ibu dan bapa serta pantang larang tidak boleh bergaduh sesama ahli itu pada hakikatnya untuk kita hidup bahagia bersama sedarah sedaging dan bukannya bercakaran mahupun bermasam muka yang akhirnya menyinggung hati ibu yang mengandung dan melahirkan serta ayah yang membesarkan.


Sebagai warga Cekak Hanafi maka kita di LPT mendoakan agar kepulangan saudara/i ke kampung masing-masing sempena Aidul Fitri yang lalu bisa mencantumkan segala hati yang terpisah dan merawat segala luka dan parut yang lama. Biarpun setiap luka itu ada parutnya dan parut itu sukar untuk dihilangkan kesannya. Namun tidak salah jika parut itu kita baluti dengan keinsafan dan keredhaan bahawa setiap dari kita hanya manusia biasa yang tidak lepas dari sifat lemah dan silap. Maka kemaafan kita pohon dan hulurkan sebagai tanda syukur atas segala nikmatNYA yang tiada kesudahan. Tiada lah yang lebih indah dalam hidup ini apabila melihat ibu dan bapa kita tersenyum manis dan puas menyaksikan anak anak yang dibesarkan dari titisan susu Ibu itu telah dewasa serta saling kasih mengasihi dan hormat menghormati antara satu sama lain. Jika demikian sifatnya maka sempurnalah dimata seorang ibu dan bapa bahwa segala usaha, didikan dan doa mereka selama ini berjaya menjadikan kita sebagai anak yang bukan hanya dikasihi ibu bapa tapi jua sekalian makhluk.


Oleh itu mari sama-sama kita melatih diri kita sebagai barisan hadapan pergerakan ini untuk terus menjadi pendokong dalam meneruskan perjuangan ini. Kita susun kembali saf antara kita biar rapat dan bersentuhan. Jangan biarkan ada jarak antara hati-hati kita, hingga berbalah dihati walaupun tampak senyum dibibir. Sifat ini hanya merugikan kita dan pergerakan. Kita perlu bersatu demi kebenaran yang kita junjung dan demi kesabaran yang DIA kurniakan dihati kita. Janganlah hendaknya kita mengamalkan resmi melukut ditepi gantang, kerna maknanya ada tak menambah, hilang tak terasa.


Mari sama-sama kita bina keyakinan dijiwa kita bahawa perjuangan yang kita bawa adalah perjuangan yang diwarisi dari Almarhum Ustaz Hanafi yang kita kasihi. Perjuangan ini memerlukan pendokong yang setia dan ikhlas bukannya penyokong yang hanya tahu bersorak kampung tergadai dan berani hanya tika ramai tapi menikus bila keseorangan yang akhirnya sokongan membawa rebah. Sebagai barisan tenaga pengajar persatuan dan akademi pastinya jiwa pendokong adalah jiwa yang diterapkan dijiwa kita dan jiwa pendokong ini jugalah yang dipohon kesetiaan dan keberanian bagi meneruskan perjuangan suci ini.


Begitu jugalah halnya dipihak pentadbir persatuan dan akademi hendaknya janganlah kita mengabaikan mereka yang banyak berjasa secara tersurat mahupun tersirat. Segala jasa ini perlu kita kenang dan hargai. Sesungguhnya apalah yang ada pada persatuan dan akademi tanpa ahli-ahli yang setia dan ikhlas berjasa dalam setiap detik dan waktu. Kekentalan mereka ini membantu kita dalam waktu-waktu sukar amat kita hargai. Kekadang kealpaan kita menyebabkan mereka yang membantu merasa jauh hati dan ini bolah menyebabkan mereka berasa bila ada tak dihargai, tika hilang tercari-cari.


Oleh itu, mari sama-sama:-

kita ingat mengingati antara kita,

agar segala jasa dibalas rasa,

supaya hilang hati yang hiba,

moga bersatu sepenuh jiwa.


Selanjutnya, kita pohonkan doa dari hati-hati yang sentiasa rukuk dan sujud kehadrat Allah Yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa agar perjuangan yang kita sama-sama usaha dan bangunkan ini sentiasa dipelihara dan diberkati dalam setiap langkah dan atur fikir kita. Semoga segala usaha yang dipeloporkan oleh Almarhum Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad terpelihara hingga akhir zaman. Tiadalah daya kita melainkan dengan izin dan iradah DIA jua Yang Maha Mengetahui setiap apa yang terdetik di hati kita. Subahanallah, Alhamdu Lillah, Allahu Akhbar.


Sebelum mengakhiri bicara ringkas ini, ingin kita berkongsi cerita mengenai peristiwa Hari Raya baru-baru ini di rumah Bonda Chulan. Kami menerima kunjungan dari seorang Ibu yang cukup mesra dengan keluarga Chulan. Beliau dikenali sebagai Wan Zai iaitu ibu kepada kartunis Negara Dato’ Lat. Ketika rancak beliau bersembang dengan kami, dia berkata” Saya bersyukur kerana sehingga hari ini pada usia 88 tahun, saya tak ada sakit jantung, darah tinggi, kencing manis and no kidney trouble” Lalu saya mengusik beliau” Speaking London ya Wan Zai”. Dengan lembut beliau menjawab, “ Young man, although I am old but I am well educated, don’t judge a person by his face” maka berderailah ketawa antara kami mendengar petahnya beliau menjawab usikan saya dengan bahasa Inggeris yang lancar dan bersahaja.


Sememangnya, kita kagum dengan keupayaan seorang Ibu seperti Wan Zai ini yang tetap berjiwa Melayu biarpun mendapat didikan Inggeris ketika muda tapi semangat juang beliau sebagai seorang Melayu tidak pernah padam. Moga semangat ini terus subur di hati setiap pendokong Silat Cekak Hanafi.


HIDUP CEKAK HANAFI WARISAN BANGSA KEKAL ABADI.


Sekian, wassalam

Chulan

21/10/2009

No comments:

Post a Comment