Tuesday, August 4, 2009

Kebangkitan

Nyiur Gading Mayang Berjurai

Kait Buah Buatkan Inti

Hancur Daging Tulang Berkecai

Kasih Tak Ubah Sampai Ke Mati

Salam Perjuangan kepada semua barisan tenaga pengajar Silat Cekak Hanafi yang sentiasa setia dan bersemangat meneruskan perjuangan suci yang Almarhum Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad lakarkan buat kita sekian lama. Tanpa kita sedari usia penzahiran Silat ini telah menjangkau 44 tahun. Suatu tempoh yang panjang dan penuh dugaan.

Tiada siapa menjangka usaha Almarhum Ustaz yang pada suatu ketika dipandang sepi oleh sekalian masyarakat tetapi kini telah bertapak di jiwa ramai anak bangsa. Putik kesedaran akan pentingnya mewarisi pusaka bangsa yang tinggi nilainya terus ditanam dan disuburkan. Usaha beliau yang mahukan Silat ini dipelajari penuntut Universiti adalah satu misi dan visi diluar akal fikir masyarakat pada ketika itu, tetapi itulah kebijaksanaan kurnia Illahi yang diterjemahkan oleh beliau dalam mengembangkan Silat ini di menara gading.

Ketajaman akal budi dan akal fikir beliau sememangnya tiada bandingan. Ada tika dipuji, ada tika dikeji. Tidak sedikit yang mencemburui kelebihan dan kejayaan beliau. Semuanya hasil dari sifat beliau yang sentiasa inginkan yang terbaik dan sempurna dalam setiap usaha yang beliau bangunkan. Sering juga kita mendengar ada suara yang menyatakan bahawa Hanafi itu terlalu angkuh dan suka bercakap besar! Namun apabila kita amati beliau bukannya angkuh atas kejayaan diri tapi yang diluahkan dari mulut beliau adalah kejayaan atas produk persilatan itu sendiri. Beliau cukup berbangga dengan kejayaan Silat ini diterima oleh warga kampus kerna itu bermakna Silat ini boleh diterima oleh golongan cerdik pandai dan bagi beliau bermulalah era Silat ini dikaji secara ilmiah dan saintifik.

Jesteru itu, dalam mendepani perkembangan Silat ini dimasa akan datang Akademi Silat Cekak Hanafi diwujudkan bagi meneruskan kesinambungan usaha murni beliau. Kita harus sedar bahawa usaha mengerakkan ASCH ini bukannya usaha seorang sahaja tetapi ianya juga adalah usaha bersama disemua peringkat. Ianya adalah idea kita bersama dan selayaknya kita semua bertanggungjawab membangun dan merealisasikan segala dasar dan perancangan ASCH.

Kita sudah tiada masa lagi menoleh ke belakang dan mengeluh atas kisah duka lalu. Ianya adalah sejarah hitam perjuangan yang tidak pernah kita fikirkan. Namun bukanlah pengakhiran atas jalan perjuangan yang kita susur bersama. Sifat tunggu dan lihat akan hala tuju pergerakan bukanlah langkah bijak dalam situasi kini. Adakah sebagai orang perjuangan apabila diduga kita mudah beralah dan mencari alasan lain untuk lari dari perjuangan yang kita laungkan selama ini? Perlukah kita putus asa atas peristiwa yang berlaku? Sedangkan kita pernah dengan lantang melaungkan dalam diari orang mukmin tiada perkataan putus asa? Tepuk dada tanyalah hati kecil masing-masing. Sudah puaskah kita dalam perjuangan yang dulunya kita bersumpah setia untuk mempertahankannya atau kita masih tergapai-gapai mencari arah akan diri kita yang lemas dalam arus perjuangan yang semakin jauh kita tinggal dan ditinggalkan?

Sebagai barisan tenaga pengajar saudara/i adalah front liner kepada perjuagan persilatan ini. Kita mewarisi segala ilmu yang baik dan tinggi nilainya dari Almarhum Ustaz, sewajarnya kita membina diri masing-masing menjadi pewaris yang bertanggungjawab atas segala ilmu yang murni lagi suci ini. Bukankah atas sifat manusia itu kita dipertanggungjawabkan menjadi khalifah dimuka bumi ini? Maka yang bertanggungjawab jualah yang berani mempertahankan apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya atas nama kesedaran dan kebenaran.

Adalah menjadi hasrat ASCH melahirkan barisan tenaga pengajar yang berjiwa matang, waras dan berhemah tinggi. Lantaran itu, kita telah menyusun semula silibus pengajaran kita dengan memberikan penekanan yang lebih tersusun dalam penerapan nilai-nilai murni terhadap semua tenaga pengajar. Selanjutnya apabila pembinaan sahsiah diri tenaga pengajar ini dapat kita kukuh dan dipertingkatkan maka penyampaian nilai-nilai murni dikalangan ahli-ahli yang belajar disemua peringkat menjadi lebih mudah untuk kita semai dan suburkan. Semua ini memerlukan komitmen dan sikap bersedia dikalangan tenaga pengajar. Jika kita mengatakan kita seorang yang bertanggungjawab maka kita hendaklah bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi kepada kita. Oleh itu, Lembaga Pelajaran dan Tatatertib menyeru kepada semua tenaga pengajar untuk sama-sama mengikuti KURSUS PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI yang akan dianjurkan dari masa kesemasa oleh ASCH.

Sesungguhnya setiap dari kita mempunyai tanggungjawab yang besar dan suci terhadap ahli-ahli dibawah seliaan dan tunjuk ajar kita. Mari sama-sama kita bangkit dari tidur yang panjang atau mungkin dengkur yang melenakan diri kita tetapi menyakit dan meresahkan orang yang menyayangi diri kita. Sudah tiba masanya kita membuang segala duka kisah silam. Generasi yang mendatang memerlukan bimbingan kita dan generasi itu sebahagiannya adalah anak-anak kita sendiri. Jika cantik dan jelas corak yang kita ukirkan maka cantik dan jelas jua corak pergerakkan generasi kita di masa akan datang. Pastinya Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad merenung lembut dan tersenyum puas akan kejayaan yang bakal kita kecapi bersama.

Titik geraknya bermula di sini……dari dalam diri kita.

PUTEH BERSIH WARISAN CEKAK

SULUHAN BUDI PEDOMAN AKHLAK

TEGUH BANGSAKU TIDAK BERGANJAK

CEKAK HANAFI PENERAJU WARISAN MUTLAK.

Nukilan:

Chulan,

ASCH 4/08/09

No comments:

Post a Comment