Monday, August 17, 2009

PUAN HAJAH HALIMAH BINTI AHMAD, hanya satu dalam sejuta.


Salam buat semua pejuang bangsa dan anak watan. Pada hari Isnin 10/08/09 jam 1.15pm, kita menerima khabar duka bahawa insan yang amat kita kenali lagi hormati telah kembali ke Rahmahtullah setelah sekian lama beliau menyimpan segala derita yang ditanggung. Bagi setiap warga Cekak yang pernah mengambil ujian Sijil Rendah Persilatan, tesis Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak pasti menjadi bahan rujukan utama, dan insan yang menukilkan catatan yang isinya bagaikan permata di hati warga Cekak kini telah kembali kehadrat Illahi selamanya..beliaulah Puan Hajah Halimah binti Ahmad.

Hanya insan biasa tapi akal fikirnya menyantun catatan kehidupan Pemimpin Agung yang bernama Ustaz Hanafi Hj. Ahmad jauh luarbiasa hasilnya. Sehingga kini itulah catatan kehidupan Ustaz Hanafi yang ada. Satu-satunya dan akan pasti kekal selama mana perjuangan ini kita pelihara dan teruskan. Selayaknya kehadiran beliau dalam arus perjuangan Silat Cekak ini hanya satu dalam sejuta.

Ketika berada di Kota Bahru pada 8/8/09 dalam usaha membuka kelas baru kita di KPTM Kota Bahru hati saya sentiasa teringatkan Kak Limah yang pada ketika itu agak kritikal di sebuah Hospital Swasta di Ibu Kota. Namun pada 10/08/09 jam 1.15pm panggilan yang saya terima daripada seorang sahabat setia adalah khabar yang telah diduga dan lafaz Inna Lillahi Wa innaa Lillahi Rajiun terus saya ucapkan dan Al-Fatihah saya hadiahkan. Sesungguhnya, kita adalah milik Allah Yang Esa dan kepadaNYA kita kembali.

Ketika meziarahi beliau pada Khamis 6/8/09 terasa pilu dihati bila mengenang segala jasa dan budi baik beliau yang tidak pernah padam.

Masih teringat pada tahun 1999, saya pernah hadir ke pejabat beliau di DBP dengan niat memohon jasa baik beliau untuk membeli Kitab Perundangan Islam tulisan Prof Dr Wahbah Az Zuhaili berjumlah 6 jilid. Beliau cukup bersahaja dan tiada berkira dalam membantu saya pada ketika itu biarpun saya hanya baru mengenali beliau. Masih saya ingat ketika itu Kak Limah bertanya, ”Lan, engkau ni belajar Silat Cekak masa Ustaz Hanafi ke?” Saya kata, ”Saya tak sempat Kak Limah, setahun Ustaz meninggal baru saya belajar”. ”Tapi cara engkau bercerita mengenai Ustaz macam engkau kenal dia” ujar beliau. Saya senyum dan menjawab, ”Kalau Kak Limah nak tahu puncanya saya boleh bercerita mengenai Ustaz kerana saya baca thesis yang Kak Limah tulis, Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak. Cara hurai yang Kak Limah bentang cukup bersahaja dan senang di baca”. Beliau terdiam dan tersenyum puas.

Sememangnya bagi warga Cekak, biar apa pun pendirian kita thesis Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak amat mendalam dan besar kesannya di jiwa kita. Itulah jasa Kak Limah yang tidak dapat kita nafikan dan ketepikan. Malah lima tahun yang lalu Kak Limah pernah menyuarakan hasratnya untuk menyambung thesis tersebut berdasarkan catatan dan rakaman temubual dengan Ustaz Hanafi yang masih ada di dalam simpanan beliau. Namun kini hasrat itu terpadam seketika. Mungkin suatu masa nanti ada waris beliau yang dapat melanjutkan usaha murni tersebut demi perjuangan Silat Cekak Hanafi yang kita kasihi ini.

Saya percaya dipihak Tuan Hj Md Nasir dan anak-anak kehilangan Kak Limah amat terasa. Malah saya yang mengenali beliau sering teringat-ingat gurau senda dan keramahan Kak Limah yang sukar ditandingi...itulah kelebihan beliau. Sikap bersahaja dan mudah mesra itu menjadikan beliau amat disenangi dan dihormati.

Sudah pasti pada usia beliau yang relatifnya muda untuk pergi meninggalkan kita amat terkesan dijiwa kita. Tapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Pengasih. Semuanya ini adalah peringatan kepada kita yang hidup bahawa ajal dan hidup itu milik DIA Yang Maha Berkuasa. DIA lah Al Khalik penentu segala urusan lagi Maha Bijaksana atur susunNya. Mungkin kita merindu beliau tapi rindu Allah mengatasi segalanya. Mungkin kita mengasihi beliau tapi cinta Allah melangkaui kasih dan sayang kita. Itulah hakikatnya dan ianya bermakna hidup harus kita teruskan sehingga tiba masa kita pula untuk sujud dan mengadap PENCINTA ABADI.

Biar pun usianya pendek dalam bilangan, tetapi panjang dalam kenangan. Tidak bermakna umur yang pendek maka cetek jua amalannya. Jika banyak sumbangan dan budi baik beliau sepanjang hayatnya maka pasti panjang kenangan indahnya dan pasti jua harum namanya di mata manusia juga kehadrat Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengetahui. Yang pastinya catatan Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak adalah sumbangan besar beliau yang tiada tandingan dan tiada jua gantinya.

Moga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempat disamping makam kekasihNYA. Kepada kekasih dan buah hati yang ditinggalkan, beliau hanya hilang di mata tapi tetap hidup subur dalam ingatan dan kenangan. Segala jasanya akan tetap hidup selama mana perjuangan silat ini yang diusahakan bersama oleh Almarhum Ustaz Hanafi kita bela dan martabatkan.

Subhanallah, Alhamdu Lillah, Allahu Akhbar.

Al-Fatihah dan Al-Ikhlas kita hadiahkan kepada Allahyaharmah Puan Hajah Halimah binti Ahmad. Pantun karangan Ahmad Babji ini saya hulurkan sebagai tanda kenangan dan terima kasih daripada seluruh warga Cekak atas jasa membina dan memperjuangkan hasrat murni lagi suci ALMARHUM USTAZ HANAFI BIN HJ AHMAD.

SARANG BALAM DI PANGKAL TEBU,

TEMPAT NURI MENCARI MAKAN,

LAKSANA AYAM KEHILANGAN IBU,

BEGITULAH KAMI KEHILANGAN PUAN.


TEMPAT NURI MENCARI MAKAN,

CELAH MENCELAH PUCUK KELADI,

BEGITULAH KAMI KEHILANGAN PUAN,

YANG BANYAK MENANAM BUDI,


CELAH MENCELAH PUCUK KELADI,

DITEPI PAYA HUJUNG BATASNYA,

YANG BANYAK MENANAM BUDI,

TAK UPAYA KAMI MEMBALASNYA,


DITEPI PAYA HUJUNG BATASNYA,

TEBU TUA DIKERAT-KERAT,

TAK UPAYA KAMI MEMBALASNYA,

DARI DUNIA HINGGA AKHIRAT.


TEBU TUA DIKERAT-KERAT,

PUCUKNYA ADA DIPANGKAL PINANG,

DARI DUNIA HINGGA AKHIRAT,

SEUMUR HIDUP TERKENANG-KENANG.

Salam dan Al-Fatihah.

Chulan,

16/08/09.

2 comments:

  1. macam mana saya nak dapatkan tesis ni ye...saya nak buat bahan rujukan di ddalam penulisan saya

    ReplyDelete