Tuesday, August 11, 2009

Fasa Baru Perjuangan

SIDANG FAKEH EMPUNYA KATA,
TUHANMU ZAHIR TERLALU NYATA,
JIKA SUNGGUH ENGKAU BERMATA,
LIHATLAH DIRIMU RATA-RATA.


Salam Perjuangan buat semua Sahabat dan saudara/i barisan tenaga pengajar dikasihi. Bicara Chulan kembali lagi dalam nada meneruskan perjuangan yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad yang kita kasihi.

Pada 8hb Ogos, 2009 sejarah tercipta dalam meneruskan perjuangan Silat Cekak Hanafi dimana atas kesungguhan Presiden ACHMAR, Saudara Shafri Shafie dan jawatankuasanya serta keberanian dan ketegasan Saudara Ahmad Zulfy di Kota Bahru Kelantan Silat Cekak Hanafi bertapak semula di Kota Darul Naim. Biarpun ada ugutan dan ancaman dari pihak-pihak tertentu namun berkat kesabaran dan keyakinan atas perjuangan yang HAK maka segala usaha dipermudah dan disempurnakan sebaik-baiknya.

Semuanya adalah usaha bersama dan sikap bertanggungjawab semua pihak yang terlibat. Semangat juang ini harus kita pautkan ke dalam hati kita. Berapa ramai dari kita yang berani menyahut cabaran membuka kelas di kawasan masing-masing dan membangunkan ahli-ahli dibawah selaian kita menjadi ahli yang benar-benar menghayati erti perjuangan yang dilaungkan oleh Ustaz Hanafi? Antara mereka nama-nama ini kita pahatkan didada bicara ini iaitu, Saudara Rozaiman dan Saudara Zaidi di Yan, Kedah, Saudara Azuan di Kota Kinabalu dan Saudara Adlan di Felda Sahabat, Lahad Datu Sabah, Saudara Halim Che Rose di Kuala Terengganu, Saudari Mun di KPTM Kuantan, Pahang, Saudara Yusuf Jidin dan Saudara Norzaika di Seremban serta beberapa lagi nama yang tidak dapat kita sebutkan. Untuk maksud yang tersebut sekalung pantun lama ini kita hadiahkan:

BULAN GERHANA BURUNG TERBANG,
SEPAT MENYUSUR KE RANTAU ABANG,
TUAN LAKSANA PAYUNG TERKEMBANG,
TEMPAT BERNAUNG TATKALA REMBANG.

Tika ramai diantara kita mengambil langkah berdiam diri dan bersikap tunggu dan lihat. Mereka ini bangun dari semua sifat lemah itu dan melangkah penuh hikmah. Biar tidak dibantu dan keseorangan tetapi kata-kata semangat

“Biar kaki ku tinggal sekerat, kan ku lanjutkan biar larat, agar perjuangan kukuh erat, demi agama, nusa dan watan”,

terus bermain dilubuk hati mereka dan menjadi azimat meneruskan usaha murni perjuangan Ustaz Hanafi yang dikasihi. Selayaknya semangat juang mereka ini kita ikuti. Tidak ramai dari kita yang sanggup bangkit dalam kelesuan akal dan kedangkalan budi melanda persatuan pada ketika itu. Tetapi mereka tetap yakin bahawa jika kita di pihak yang benar apa harus ada bimbang didalam jiwa? Sedangkan kita ditanam sifat berani kerna benar dan sifat itu jua lah yang telah membangkitkan mereka dari terus lesu dan bersedih. Sebaliknya mereka melahirkan semangat juang dalam kekalutan sebahagian kita mencari arah pulang dan hala tuju hidup. Hasilnya kita bertapak semula di kelas-kelas latihan ini. Semangat berani ini yang harus kita pupuk dijiwa kita, tanpa undur tanpa mengaku kalah.

Jesteru itu, kita menyeru kepada seluruh barisan tenaga pengajar untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, bergerak sama gagah, melangkah sama hikmah dalam menerajui fasa baru perjuangan ini dengan terbitnya Akademi Silat Cekak Hanafi sebagai wadah perjuangan yang kita bina bersama.

Sesungguhnya fasa baru perjuangan Ustaz Hanafi ini kita gariskan sebagai satu titik mula perjalanan Silat Cekak Hanafi yang lebih tersusun dan efisien. Tidak sedikit yang mencemburui langkah berani lagi benar ini. Namun ianya bukan bermakna kita harus alpa dengan perancangan yang baik pada mata kita. Ianya adalah permulaan yang harus kita pupuk, semai, baja dan pelihara dengan penuh hikmah dan bertanggungjawab. Sesungguhnya, percayalah tiada usaha yang baik akan berakhir dengan kekecewaan jika ianya disulami dengan keikhlasan dan semangat juang senafas seudara seia sekata sehati sejiwa.

Oleh itu kita harus sedar peranan masing-masing dan menjalankan tugasan tersebut sebaik mungkin. Jika semua jentera bergerak dan memahami serta mempercayai satu sama lain sepenuh hati maka semua perancangan akan berjalan lancar dan semua hati akan bersatu.

Dalam memenuhi kehendak fasa baru ini, barisan muda tenaga pengajar perlulah berani tampilkan diri dan menyahut cabaran. Barisan muda adalah tunggak perjuangan dimasa akan datang dan LPT percaya bahawa barisan muda yang berani merubah diri menjadi insan yang sempurna adalah barisan muda yang perlu dibimbing dan dipimpin bersama dalam memahami dan menerajui kepimpinan perjuangan ini dimasa hadapan.

Kita tidak perlu merasa malu atas alasan kita orang baru. Sebaiknya kita harus berani setangkas abang-abang perjuangan terdahulu meneruskan perjuangan silat ini tanpa merasa rendah diri dan leka. Saudara/i barisan muda berdepan tugas lagi mencabar dengan ahli-ahli baru yang lebih berpengetahuan dan sifat ingin tahu yang lebih besar dan mendalam. Jadi lengkapkanlah pengetahuan diri dan keyakinan diri dengan menyertai program-program persatuan dan kursus-kursus anjuran ASCH. Sebagaimana pesan Ustaz Hanafi:- “Jika hendak mahir bersilat jadilah tenaga pengajar dan sertai jentera skuad demo, dengan cara itu erti silat lebih mudah kita fahami dan hayati”

Akhirnya secebis kata-kata daripada Prof Dato Dr Muhammad Razak, Timbalan Naib Canselor HEP, UKM ketika bertemu di Pejabat beliau sebelum Wajadiri UKM 2009, kita catatkan disini, “Ketika saya belajar di Fakulti Perubatan UKM saya berkesempatan bertemu Ustaz Hanafi, beliau mempunyai keperibadian yang cukup hebat dan menarik malah saya cukup meminati Silat Cekak ini kerana sistem pengajarannya yang sistematik dan tersusun amat sesuai untuk pelajar Universiti”

Semoga sedikit ilmu ini dapat kita kongsi bersama demi kebaikan kita dimasa hadapan. Tiada jualah daya upaya kita meneruskan perjuangan ini melainkan restu dan izin Allah Yang Maha Mengetahui lagi baik perancanganNYA.

Salam Perjuangan,

Chulan
Kuala Lumpur

11/08/09

No comments:

Post a Comment